Wednesday, October 15, 2008

Politik hari ini...

Ketua Pengarah IKIM, YM Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas menegaskan bahawa dalam menghadapi pilihan raya, wujud kecenderungan pihak tertentu untuk melancarkan pertempuran dan ia seolah-olah menggambarkan suasana puak zaman jahiliah yang tidak bermatlamat mahupun juga kabur, hanya perasaan benci dan hasad dengki terhadap pihak lawan. Malang sekali kerana masyarakat umum tidak didorong untuk menilai natijah perjuangan atau juga matlamat kabur sesuatu pertubuhan kerana ia bukan lagi tidak penting malah tidak lagi berkaitan. Menurut beliau lagi, suasana tersebut menanam benih permusuhan yang tiada bandingannya yang akhirnya membawa kepada kemerosotan, ketidakadilan dan kejahilan yang berterusan. Penegasan beliau itu menunjukkan bahawa sifat-sifat keji yang dimiliki oleh masyarakat Arab jahiliah pasti akan diwarisi oleh sesiapa sahaja termasuk umat Islam sendiri, iaitu jika lunturnya keimanan dan telah hilang lenyaplah pegangan, hala tuju serta makna diri.

Pada hari ini, dengan segala ujian yang menimpa kepemimpinan negara, kita dapat melihat bagaimana bersemaraknya budaya dan amalan yang pernah wujud pada zaman jahiliah itu. Budaya fitnah-memfitnah, dendam-mendendam, hasad dengki dan sebagainya seolah-olah menjadi sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Lebih malang lagi rakyat bawahan turut diheret untuk menonton segala bentuk "pertempuran" serta "peperangan" yang strateginya berasaskan fitnah, penganiayaan, pendustaan dan pengkhianatan. Maka habislah segala tenaga dan masa berharga yang sewajarnya ditumpukan untuk menangani kemelut besar yang melanda dan melaksanakan tanggungjawab memenuhi keperluan serta memelihara kebajikan rakyat. Peringatan yang diberikan al-Qur'an misalnya berkaitan dengan angkara dan bahaya fitnah yang lebih besar daripada pembunuhan seolah tidak menimbulkan kegerunan buat mereka yang terbabit. Apa yang penting hanyalah dapat menyelamatkan diri serta kepentingan yang dimiliki dan memusnahkan pihak lawan yang dianggap akan memusnahkan segala cita-cita serta impian besar masa hadapan. ..

Bagi rakyat atau masyarakat umum, mereka seharusnya bijak membuat perhitungan dan penilaian. Bahawa segala yang berlaku menjadikan mereka lebih bijak untuk memilih kepemimpinan yang diperlukan pada masa hadapan bagi memperjuangkan keadilan, nasib dan kelangsungan kehidupan mereka. Sudah pasti juga kepemimpinan yang dimaksudkan ialah yang menyerlahkan sifat atau nilai kebijaksanaan (hikmah), keberanian, kesederhanaan dan keadilan. Malah, mereka sewajarnya menyedari bahawa alangkah malangnya mereka jika memiliki pemimpin yang kononnya kelihatan bijak merancang masa hadapan dengan segala perancangan hebat dan gah namun gagal menoleh ke belakang untuk melihat serta mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam sejarah.

1 comments:

mutiaratihani said...

salam..

suasana politik hari ini sudah tidak seperti dulu lagi..
penuh dengan penipuan, kezaliman penindasan dan banyak lagi..
kadang2 jadi tak reti nak menilai