Friday, October 17, 2008

Agama menuntut keadilan mutlak, hapus kezaliman..

DALAM hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran, terutama terhadap hubungan dan perpaduan ummah. Di antara cabarannya ialah pertelingkahan, perbalahan dan pertikaian yang timbul disebabkan pelbagai faktor.

Kita mungkin bertelingkah disebabkan berbeza pendapat atau berbalah kerana hak dan kepentingan dicabar. Adalah baik dan bijak, jika perbalahan dan pertikaian itu dapat ditangani dengan penuh bijaksana.

Bagaimanapun, jika ia menimbulkan masalah lebih besar, misalnya, menyebabkan sesuatu pihak teraniaya, ia memerlukan pihak lain untuk menghakimi dan menyelesaikannya hingga keadilan dapat dilaksanakan, demi kepentingan semua pihak.

Di sini, letaknya peranan institusi kehakiman dalam Islam. Institusi ini turut berperanan besar untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam sangat adil, unggul dan sesuai untuk dilaksanakan di semua tempat, setiap masa dan meliputi setiap lapisan masyarakat.

Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah di antara falsafah sistem kehakiman Islam. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Allah dan disebut dalam al-Quran.

Firman Allah bermaksud:

"Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat..."
(Surah an-Nisa, ayat 105).

Islam menghendaki supaya keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika berdasarkan undang-undang adil seperti ditegaskan dalam al-Quran.
Bagaimanapun, jika undang-undang yang adil itu tidak ditadbir dengan cekap, amanah dan adil, maka keadilan undang-undang tidak akan dapat dinikmati. Malah, bertukar menjadi kezaliman.

Penegasan Allah supaya manusia berlaku adil dalam menghakimi sesuatu pertikaian turut merangkumi tuntutan supaya mengetepikan perasaan benci, marah, dendam dan sebagainya.

Firman-Nya bermaksud:
"Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa"
(Surah al-Maidah, ayat 8).

Ayat ini jelas memerintahkan kita supaya berlaku adil walaupun terhadap golongan atau orang yang menjadi musuh. Ini kerana perasaan benci dan marah boleh mendorong untuk tidak berlaku adil. Ini bertentangan dengan prinsip kehakiman Islam.

Semua pihak yang terbabit dalam proses pengadilan mesti berlaku adil, bukan hanya hakim semata-mata. Misalnya untuk menjadi saksi, keterangan yang diberikan perlulah benar walaupun merugikan diri sendiri dan ahli keluarga lain.

apa panadangan anda tentang sistem undang-undang Islam kita sekarang???
anda sendiri yang ada jawapannya...

1 comments:

aDUKa said...

""tiada undang-undang yg lebih sesuai utk selesaikan masalah kehidupan manusia melainkan undang-undang ciptaan Allah SWT"

"ISLAM IS THE WAY OF LIVE"