Saturday, October 11, 2008

Syawal Ruang Menilai Diri

Kemeriahan dan keluhuran Aidilfitri masih dirasai walaupun Syawal menginjak ke minggu kedua, menandakan hari kemenangan kurniaan Allah SWT begitu memberikan kesan kepada umat Islam. Amat rugi bagi kita jika Ramadhan yang lalu menjadikan diri kita tergolong dalam senarai orang yang taat dan rajin beribadat, tiba-tiba pada Syawal jatuh pada satu tangga ke satu tangga, sehingga tergolong dalam senarai orang berbuat kemungkaran.

Kemenangan yang dicapai hasil usaha dan kesungguhan sepanjang Ramadhan sehingga dapat merayakan Aidilfitri bukan setakat dizahirkan dengan senyuman gembira, malah perlu dihargai dan disyukuri dan paling penting dipertahankan. Mempertahankannya bukan bererti merayakannya dan bersukaria sepanjang tahun, tetapi mempertahankan cara amalan yang membawa kepada kemenangan itu, iaitu melalui amalan puasa, ibadat siang dan malam, bersedekah dan berbuat kebaikkan.

Satu amalan mulia pada bulan Syawal ialah puasa enam hari. Umat Islam digalakkan berpuasa enam hari selepas sebulan Ramadhan, sebagai satu isyarat pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya kesungguhan untuk beramal ibadat terutamanya puasa.

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w katanya, "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun".

Syawal sepatutnya dihayati sebagai bulan untuk menilai diri, khususnya dalam aspek kesabaran dan mengawal emosi yang dipelajari sepanjang Ramadhan, menilai kemurahan hati dalam amal kebajikan dan kecintaan kepada amal Ibadat seperti membaca Al-Quran.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda sudah menilai diri???
Renung-renungkan...

1 comments:

aDUKa said...

"Jadikanlah tarbiyah Ramadhan yg lalu sebagai panduan perjalanan kehidupan yg sementara.."