Sunday, October 19, 2008

CiNtA

erm...dua hari lepas, saya baru je selesai baca hasil karya Prof. Dr HAMKA. tajuknya, DI BAWAH LINDUNGAN KA'BAH...menangis saya krn ceritanya sedih bangatttt...

ada satu rangkap kata-kata cinta dr HAMKA:

" cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia.
ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci.
cuma tanahnyalah yang lain-lain menerimanya.
jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perangai yang tercela.tetapi jika ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji..."
bacalah hasil karya ni, InsyaAllah akan timbul pada anda rasa cinta yang sejati, yang hakiki...

Friday, October 17, 2008

Agama menuntut keadilan mutlak, hapus kezaliman..

DALAM hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran, terutama terhadap hubungan dan perpaduan ummah. Di antara cabarannya ialah pertelingkahan, perbalahan dan pertikaian yang timbul disebabkan pelbagai faktor.

Kita mungkin bertelingkah disebabkan berbeza pendapat atau berbalah kerana hak dan kepentingan dicabar. Adalah baik dan bijak, jika perbalahan dan pertikaian itu dapat ditangani dengan penuh bijaksana.

Bagaimanapun, jika ia menimbulkan masalah lebih besar, misalnya, menyebabkan sesuatu pihak teraniaya, ia memerlukan pihak lain untuk menghakimi dan menyelesaikannya hingga keadilan dapat dilaksanakan, demi kepentingan semua pihak.

Di sini, letaknya peranan institusi kehakiman dalam Islam. Institusi ini turut berperanan besar untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam sangat adil, unggul dan sesuai untuk dilaksanakan di semua tempat, setiap masa dan meliputi setiap lapisan masyarakat.

Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah di antara falsafah sistem kehakiman Islam. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Allah dan disebut dalam al-Quran.

Firman Allah bermaksud:

"Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat..."
(Surah an-Nisa, ayat 105).

Islam menghendaki supaya keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika berdasarkan undang-undang adil seperti ditegaskan dalam al-Quran.
Bagaimanapun, jika undang-undang yang adil itu tidak ditadbir dengan cekap, amanah dan adil, maka keadilan undang-undang tidak akan dapat dinikmati. Malah, bertukar menjadi kezaliman.

Penegasan Allah supaya manusia berlaku adil dalam menghakimi sesuatu pertikaian turut merangkumi tuntutan supaya mengetepikan perasaan benci, marah, dendam dan sebagainya.

Firman-Nya bermaksud:
"Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa"
(Surah al-Maidah, ayat 8).

Ayat ini jelas memerintahkan kita supaya berlaku adil walaupun terhadap golongan atau orang yang menjadi musuh. Ini kerana perasaan benci dan marah boleh mendorong untuk tidak berlaku adil. Ini bertentangan dengan prinsip kehakiman Islam.

Semua pihak yang terbabit dalam proses pengadilan mesti berlaku adil, bukan hanya hakim semata-mata. Misalnya untuk menjadi saksi, keterangan yang diberikan perlulah benar walaupun merugikan diri sendiri dan ahli keluarga lain.

apa panadangan anda tentang sistem undang-undang Islam kita sekarang???
anda sendiri yang ada jawapannya...

Wednesday, October 15, 2008

Politik hari ini...

Ketua Pengarah IKIM, YM Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas menegaskan bahawa dalam menghadapi pilihan raya, wujud kecenderungan pihak tertentu untuk melancarkan pertempuran dan ia seolah-olah menggambarkan suasana puak zaman jahiliah yang tidak bermatlamat mahupun juga kabur, hanya perasaan benci dan hasad dengki terhadap pihak lawan. Malang sekali kerana masyarakat umum tidak didorong untuk menilai natijah perjuangan atau juga matlamat kabur sesuatu pertubuhan kerana ia bukan lagi tidak penting malah tidak lagi berkaitan. Menurut beliau lagi, suasana tersebut menanam benih permusuhan yang tiada bandingannya yang akhirnya membawa kepada kemerosotan, ketidakadilan dan kejahilan yang berterusan. Penegasan beliau itu menunjukkan bahawa sifat-sifat keji yang dimiliki oleh masyarakat Arab jahiliah pasti akan diwarisi oleh sesiapa sahaja termasuk umat Islam sendiri, iaitu jika lunturnya keimanan dan telah hilang lenyaplah pegangan, hala tuju serta makna diri.

Pada hari ini, dengan segala ujian yang menimpa kepemimpinan negara, kita dapat melihat bagaimana bersemaraknya budaya dan amalan yang pernah wujud pada zaman jahiliah itu. Budaya fitnah-memfitnah, dendam-mendendam, hasad dengki dan sebagainya seolah-olah menjadi sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Lebih malang lagi rakyat bawahan turut diheret untuk menonton segala bentuk "pertempuran" serta "peperangan" yang strateginya berasaskan fitnah, penganiayaan, pendustaan dan pengkhianatan. Maka habislah segala tenaga dan masa berharga yang sewajarnya ditumpukan untuk menangani kemelut besar yang melanda dan melaksanakan tanggungjawab memenuhi keperluan serta memelihara kebajikan rakyat. Peringatan yang diberikan al-Qur'an misalnya berkaitan dengan angkara dan bahaya fitnah yang lebih besar daripada pembunuhan seolah tidak menimbulkan kegerunan buat mereka yang terbabit. Apa yang penting hanyalah dapat menyelamatkan diri serta kepentingan yang dimiliki dan memusnahkan pihak lawan yang dianggap akan memusnahkan segala cita-cita serta impian besar masa hadapan. ..

Bagi rakyat atau masyarakat umum, mereka seharusnya bijak membuat perhitungan dan penilaian. Bahawa segala yang berlaku menjadikan mereka lebih bijak untuk memilih kepemimpinan yang diperlukan pada masa hadapan bagi memperjuangkan keadilan, nasib dan kelangsungan kehidupan mereka. Sudah pasti juga kepemimpinan yang dimaksudkan ialah yang menyerlahkan sifat atau nilai kebijaksanaan (hikmah), keberanian, kesederhanaan dan keadilan. Malah, mereka sewajarnya menyedari bahawa alangkah malangnya mereka jika memiliki pemimpin yang kononnya kelihatan bijak merancang masa hadapan dengan segala perancangan hebat dan gah namun gagal menoleh ke belakang untuk melihat serta mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam sejarah.

betulkah penuntut ipt Islam kita begini???


Belajar agama, yang penting bukankah untuk menjadi orang beriman? semakin tinggi belajar agama semakin tinggi dan mantaplah iman. Tidak kiralah di mana kita belajar, yang lebih pentig jadi apa selepas belajar, apakah akan benar-benar berkesudahan sebagai orang yang alim, itu yang mesti diambil kira.

bolehkah anda bayangkan bagaimana sebuah IPT berteraskan pengajian Islam, pelajar-pelajarnya kandas solat subuh, sedangkan pelajar-pelajar itulah nantinya akan bergelar ustaz, ustazah,hafiz dan hafizah???

Menurut seorang pegawai yang bertugas disalah sebuah IPT, dia kadang-kadang terpaksa bertindak keterlaluan mengetuk pintu asrama dengan kuat untuk menggerakkan pelajar. Malah dia pernah menggunakan pemetik api untuk membangunkan pelajar-pelajar yang tegar ini, tetapi masih tidak bangun.

Lebih mendukacitakan lagi, ada pelajar yang terpaksa dipukul kerana tahap disiplinnya sangat teruk. Bolehkah anda bayangkan bagaimana hal semacam ini boleh terjadi di pusat pengjian tinggi Islam???

Saturday, October 11, 2008

Persoalan Berkaitan Muamalat...

Tahukah anda apakah hukumnya perniagaan direct selling, multilevel marketing (MLM) atau pemasaran rangkaian terutama bonus dan komisen yang kita dapat daripada ejen di bawah kita?

Pada dasarnya hukum MLM ditentukan oleh bentuk muamalatnya. Jika muamalat yang terkandung di dalamnya adalah muamalat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka sahlah MLM tersebut. Maksudnya harus.

Namun jika muamalatnya bertentangan dengan syariat islam, maka haramlah MLM tersebut.

Pada faktanya majoriti MLM melakukan 2 muamalat yang diharamkan dalam Islam, iaitu:

1. Mengambil komisen yang bukan haknya (ejen atas ejen).

2. Dua akad dalam satu akad.
Contohnya, mengambil untung atau komisen yang bukan haknya, iaitu untung atas untung. Maksudnya mengambil komisen daripada usaha ejen lain. Contohnya, Abu adalah ejen daripada Hasan untuk menjual sebuah rumah. Hasan berkata harga rumah dijual dengan nilai RM100,000 dan Abu sebagai ejen akan mendapat komisen sebanyak 10% daripada hasil penjualan. Kemudian, Abu bertemu dengan Zaki sebagai ejen yang lain. Abu berkata, “Jika kamu boleh menjual rumah Hasan, maka kamu mendapatkan komisen 10%, dan saya akan mendapat komisen 5% daripada kamu.” Komisen yang diambil oleh Abu bukan komisen yang dibenarkan oleh syariat. Ini disebabkan Abu bukanlah pemilik rumah, dan bukan juga pembeli.

Akan tetapi, jika Abu mengajak Zaki untuk berkerjasama dalam menjual rumah, kemudian komisen daripada Hasan sebanyak 10% dibahagikan sesama mereka, maka amalan sebegini dibolehkan dalam syariat Islam.

Kaedah muamalat ada menyebut “asal dalam muamalat adalah halal.” Maksudnya, apa sahaja bentuk muamalat jual beli pada hukum asalnya halal selagi mana tidak terdapat unsur-unsur penganiayaan, penipuan, perjudian dan riba.

Mencari yang halal itu fardhu bagi umat Islam...

Kelalaian Dalam Mendidik Anak


Kepada kita hamba-hambaNYA. Firman Allah SWT :

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar."
(QS. At-Taghabun, 64 : 15)

Sebagai ujian, Ia akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda: "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul? Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak."

Lalu Rasulullah SAW berkata, "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia."

Maksud Al-Hadits, ini mungkin disebabkan beberapa kelalaian dalam mendidik anak-anak.

Kelalaian pertama:
Kurang berdoa [Kurang berdoa semasa mengandung].

i) Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah:
- Sayyidul (penghulu) Istighfar.
- Doa memohon rahmat (QS. Ali Imran, 3: 8-9).
- Doa memohon zuriat yang baik (QS. Ali Imran, 3: 38).
- Doa agar anak mengerjakan solat (QS. Ibrahim, 14: 40-41).

ii) Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah:
- Doa agar anak patuh kepada Allah SWT (QS. Al-Baqarah, 2: 128).
- Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (QS. Al-Furqan, 25: 74).
- Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

Kelalaian kedua: Banyak memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib (dorongan atau motivasi). Antara ajaran tarhib antara lain seperti:
- menakutkan anak-anak dengan sekolah.
- menakutkan dengan tempat gelap.
- menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau.
- menggunakan kekerasan dan paksaan waktu menyuruh anak tidur.

Kelalaian ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak.
- tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak
- terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti saja tanpa mengerti perasaan mereka.

Kelalaian keempat: Menegur anak secara negatif.
- mengeluarkan kata-kata kasar dan makian kepada anak-anak (terutama sewaktu marah).
- membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain.

Kelalaian kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani, rohani dan intelektual.
Pendidikan intelektual lebih dipentingkan daripada pendidikan rohani. Apabila diberikan pendidikan rohani, pendidikan intelektual biasanya diberikan porsi yang lebih besar. Sehingga tidak terjadi keseimbangan.

Kelalaian keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak.
Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah RA : "Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali RA. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra, "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka. "Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata, "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi." (Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelalaian ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang baik.
Orang tua tidak menunjukkan cara berpakaian yang baik dan sesuai syara bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara seenaknya atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.

Kelalaian kelapan: Susunan rumah tangga yang tidak baik.
Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara salah seorang dari ibu bapaknya.

Kelalaian kesembilan: Membolehkan orang yang tidak baik perilaku, kesopanan, dan akhlaknya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak.
Apabila kelalaian ini terjadi, maka akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang dalam pertumbuhan.

Kelalaian kesepuluh: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton di TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syara' dan perbualan yang dapat merosak aqidah dan pemikiran anak-anak.

Kelalaian kesebelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.
Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.


Orang yang berfikiran besar banyak memperkatakan ilmu.
Orang yang berfikiran sederhana banyak memperkatakan peristiwa.
Orang yang berfikiran rendah banyak memperkatakan diri sendiri.

Wanita bertudung pamer harga diri tinggi


MEMAKAI tudung bukan isu baru, malah sering menjadi perbincangan cendiakawan Islam. Bertudung ialah kewajipan yang perlu dilaksanakan setiap Muslimah.

Bagaimanapun, masih ramai yang mengambil mudah hal bertudung kerana menganggap ajal mereka masih jauh.

Di Malaysia, ia perkembangan positif berbanding 20 atau 30 tahun lalu. Dulu qariah pada tilawah al-Quran masih kelihatan rambutnya walaupun khusyuk membaca al-Quran.

Paradigma dan perkembangan positif ini mungkin disebabkan peningkatan kefahaman masyarakat terhadap Islam.

Walaupun kini masih ada kelompok yang memakai tudung mengikut keadaan seperti beberapa aduan yang diterima berkenaan mahasiswa dan pelajar bertudung yang sanggup membukanya demi menjayakan sesebuah persembahan, ia masih dikategorikan lebih baik daripada kelompok yang langsung tidak bertudung.

Jenayah seksual, simbol seks dan gejala sosial sering menjatuhkan martabat wanita. Bagi saya, amalan bertudung mampu mengubah persepsi masyarakat walaupun bukan secara total.


Lelaki lebih menghormati wanita bertudung apatah lagi jika menutup aurat keseluruhannya. Rasa hormat ini adalah naluri semula jadi dan saya berpendapat wanita kelihatan lebih cantik dan manis apabila bertudung. Wanita bertudung mempamerkan nilai kesopanan dan harga diri tinggi di mata masyarakat.


Wanita bertudung yang terbabit dalam perilaku maksiat merupakan punca jatuhnya martabat umat. Namun bilangan mereka amat sedikit jika ingin diberbandingkan dengan pelaku maksiat lain. Bagi sesetengah wanita, mungkin fesyen menjadi keutamaan.

Pertubuhan wanita dan jabatan yang bertanggungjawab memajukan Islam perlu lebih kreatif dan berhikmah dalam melaksanakan Islam di negara kita.

Syawal Ruang Menilai Diri

Kemeriahan dan keluhuran Aidilfitri masih dirasai walaupun Syawal menginjak ke minggu kedua, menandakan hari kemenangan kurniaan Allah SWT begitu memberikan kesan kepada umat Islam. Amat rugi bagi kita jika Ramadhan yang lalu menjadikan diri kita tergolong dalam senarai orang yang taat dan rajin beribadat, tiba-tiba pada Syawal jatuh pada satu tangga ke satu tangga, sehingga tergolong dalam senarai orang berbuat kemungkaran.

Kemenangan yang dicapai hasil usaha dan kesungguhan sepanjang Ramadhan sehingga dapat merayakan Aidilfitri bukan setakat dizahirkan dengan senyuman gembira, malah perlu dihargai dan disyukuri dan paling penting dipertahankan. Mempertahankannya bukan bererti merayakannya dan bersukaria sepanjang tahun, tetapi mempertahankan cara amalan yang membawa kepada kemenangan itu, iaitu melalui amalan puasa, ibadat siang dan malam, bersedekah dan berbuat kebaikkan.

Satu amalan mulia pada bulan Syawal ialah puasa enam hari. Umat Islam digalakkan berpuasa enam hari selepas sebulan Ramadhan, sebagai satu isyarat pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya kesungguhan untuk beramal ibadat terutamanya puasa.

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w katanya, "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun".

Syawal sepatutnya dihayati sebagai bulan untuk menilai diri, khususnya dalam aspek kesabaran dan mengawal emosi yang dipelajari sepanjang Ramadhan, menilai kemurahan hati dalam amal kebajikan dan kecintaan kepada amal Ibadat seperti membaca Al-Quran.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda sudah menilai diri???
Renung-renungkan...

Wednesday, October 8, 2008

TERDIDIK KERANA SEBIJI TEMBIKAI...

Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al- Balkhi r.m telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah- marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: “Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?" Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya:

"Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik.

Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga.

Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga.

Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini.

Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”


Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan dia pun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Manusia akan berjaya selagi mana dia meletakkan dirinya dalam agama...

Tinggalkan Pulau Itu...

Prof. Hamka menulis dalam bukunya, Tasauf Moden, sebagai berikut:

Adapun manusia hidup di dunia ini ibarat orang berlayar di lautan luas. Mereka menumpang sebuah kapal menuju daratan yang jauh di sana. Setelah berhari-hari di laut, sedangkan daratan yang dituju itu belum juga nampak, maka pada suatu hari kapal itu singgah pada satu pulau. Adapun orang yang turun ke pulau ini terbahagi tiga golongan.


Golongan yang pertama, mereka tahu dan ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Setelah melihat-lihat sebentar, lantas mereka kembali ke kapal. Mereka ingat bahawa bukan pulau inilah yang menjadi tujuan.

Golongan yang kedua, mereka terpengaruh oleh keindahan pulau. Pohon kelapa di pulau itu melambai-lambai ditiup angin, airnya jernih, ikannya jinak. Mereka terpegun dan terlena, tetapi kemudian mereka ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Maka mereka kembali ke kapal, tetapi kerana terlambat, tempat duduk sudah habis ditempati orang.

Adapun golongan yang ketiga inilah golongan yang malang. Setelah dibunyikan semboyan kapal yang pertama tidak mereka pedulikan, dibunyikan sekali lagi, tidak juga dipedulikan, dan berbunyi yang ketiga kali, kapal pun berangkat. Setelah jauh dipanggil tidak kembali lagi. Mereka inilah orang yang benar-benar malang.

Itulah perumpamaan antara kehidupan manusia, dunia dan akhirat. Dunia bagi orang-orang beriman ibarat tandas. Hanya sekadar keperluan. Tiada orang yang akan tidur di tandas, masak di tandas dan makan di tandas. Manusia lahir dengan kudrat ganjil. Sebelum Lahir mereka tidak bercita-cita untuk hidup, dan setelah hidup tidak pula ingin mati. Itulah dia manusia.

Kebanyakan manusia lupa akan tujuan, lupa bahawa hidup di dunia tidak akan lama, bahawa hidup ini akan di akhiri dengan kematian.

Tinggalkan pulau tu, semboyan dah berbunyi tapi kamu masih di situ. Renung-renungkan...

Pesanan Untuk Para Isteri dan Yang Bakal Menjadi Isteri

Sebagai isteri hati ini sering diajar...

i) Jangan memikirkan keburukan suami dan kenangkanlah kebaikannya untuk dijadikan penawar jika hati terluka.

ii) Sentiasa ingat syurga seorang isteri itu di bawah tapak kaki suami. Selagi suami itu didalam redha Allah.

iii) Setiasa bershukur dengan apa yang disedikakan oleh suami walaupun nafsu sentiasa menuntut lebih dari apa yang ada.

iv) Dalam apa keadaan pun sentiasa bersangka baik terhadap suami kerana bersangka baik itu adalah penawar jiwa yang paling mujarab. Jangan meyeksa hati sendiri untuk bahagia.

v) Cemburu... jangan diikutkan kerana yang binasa adalah hati dan perasaan sendiri. Walaupun cemburu itu tandanya sayang.

vi) Carilah pahala dan redha Allah selagi status isteri masih disandang. Itu janji Allah yang tidak akan berdusta kepada hambanya.

vii) Janganlah memikirkan kelemahannya kerana diri sendiri juga tidak sehebat mana. Terimalah suami seadanya.

viii) Sentiasa ingat bahawa setiap yang baik itu datangnya dari Allah dan setiap yang buruk itu datangnya dari kesilapan kita sebagai hambaNya. Manusia memang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Tetapi adakah sebagai isteri.... mampu..., apabila hati sering bertanya MENGAPA, KENAPA DAN BAGAIMANA.

Walaupun rasa bersyukur sentiasa diajar bertandang di hati tetapi MENGAPA, KENAPA DAN BAGAIMANA jua yang sering bertamu.


Hanya doa sahaja menjadi penguat semangat demi untuk mendapat keredhaan Allah yang tidak pernah jemu membantu. Bukan mudah untuk menjadi isteri solehah kalau tidak benar-benar redha dengan apa yang ada dan apa yang dirasa.

Tetapi hati sentiasa ingat bahawa Allah tidak akan menduga hambanya dengan dugaan yang tidak tertanggung oleh hambanya itu. Ujian Allah adalah peluang kepada kita untuk mencari keredhaan dan rahmatnya di dunia dan di akhirat kelak. Ingatlah bahawa janji Allah itu adalah benar.